TERAKHIR DIKEMASKINI: 14 JUN 2017 BY NOOR HASILAH ISMAIL

Setelah 7 tahun mempengerusikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan penuh dedikasi, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar mengambil keputusan menolak tawaran menyambung kontrak dan bersara pada 3 Jun lalu.

“Usia saya sudah 73 tahun. Saya sudah memberikan yang terbaik dan termampu. Cukup sampai di sini. Saya berasa lega dan gembira dengan keputusan ini.

“Saya nak berehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan memenuhi hobi,” kata Syed Hamid yang juga telah bersara sebagai duta OIC ke Myanmar Februari lalu.

Syed Hamid dilahirkan pada 15 Januari 1944. Hasil rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta, Sharifah Aziah binti Syed Zainal Abidin, dia dikurnikan enam orang anak dan enam orang cucu.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini, Syed Hamid berkata, walaupun pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuhinya sebagai Pengerusi SPAD, dia tetap gembira. Baginya segala dugaan dan cabaran adalah lumrah kehidupan yang membantu menjadikannya insan yang lebih baik.

Menurut Syed Hamid, dia bersyukur segala perancangan Transformasi Pengangkutan Awam dan projek-projek SPAD yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang diamanahkan kepadanya untuk mengemudi telah berjalan dengan baik.

“Program transformasi berjalan dengan lancar. Jajaran LRT telah bertambah, MRT sudah menjadi kenyataan, perkhidmatan komuter dan bas semakin baik.

“Saya telah melaksanakan amanah yang diberikan sebagai pengerusi SPAD sebaik mungkin. Saya bertuah kerana mendapat satu pasukan yang hebat dari Ketua Pegawai Elsekutif (CEO) kepada staf-staf yang berdedikasi.

“Saya seronok sepanjang tempoh di SPAD kerana dapat peluang turun padang dan bergaul dengan pemain industri. Saya naik bas, LRT, komuter dan bersembang-sembang dengan pemandu teksi dan pengalaman itu membantu saya memahami mereka,” katanya.

Syed Hamid berkata isu paling mencabar sepanjanga tempohnya sebagai pengerusi SPAD, ialah industri teksi.

“Kita bukan berdepan dengan pemandu sahaja tetapi juga operator, pengusaha dan seumpamanya. Isu UBER dan Grabcar juga amat mencabar,” katanya.

Teruk jugalah Syed Hamid dan SPAD dibedal dari pelbagai sudut oleh penumpang dan pemandu teksi serta pemain industri. Antara yang paling vokal menghentamnya ialah pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Tetapi Januari lalu Shamsubahrin telah secara terbuka memohon maaf kepada Syed Hamid di atas kelantangannya menghentam Pengerusi SPAD itu.

“Dia sudah mohon maaf secara ikhlas dan saya telah memaafkannya,” katanya.

Seperkara lagi yang agak mencabar baginya ialah campurtangan Menteri. Walaupun menteri yang bertanggungjawab ke atas SPAD ialah Nancy Syukri, ramai menteri lain yang berminat masuk campur urusan SPAD. Ada yang menghentam, ada pula yang siap mengarahnya berbuat itu ini.

Malah pernah ada seorang menteri yang berselisih faham dengannya. Tetapi menurut Syed dia berasa lega kerana menteri berkenaan telah menghulurkan salam kemaafan.

Syed Hamid berkata segala kritikan yang dilemparkan kepada SPAD telah menjadikannya lebih kuat.

“Semakin orang kritik kita, semakin berazam SPAD mahu memperbaiki diri dan meningkatkan perkhidmatan. Kita hanya menjalankan tanggungjawab.Niat kita baik tetapi sering disalah faham. Apapun inilah asam garam kehidupan.”

Apakah nasihat Syed Hamid kepada bakal penggantinya?

“Siapa yang bakal ganti saya kena rajin turun padang bertemu pemain dalam industri setiap masa tanpa mengira waktu dan tempat. Dari situ kita akan dapat tahu setiap maklumat dan permasalahan secara terus.

“Dia juga harus mengamalkan sikap rendah diri kerana sikap sombong tak akan bawa kita ke mana,” katanya.

Syed Hamid akan berangkat mengerjakan Umrah hari ini dan akan kembali ke tanahair sehari sebelum Hari Raya.

Rancangannya selepas ini ialah membukukan kira-kira 600 buah sajak dalam Bahas Melayu dan Inggeris yang dikarangnya sejak bertahun-tahun dahulu sehingga sekarang.

“Saya dah tulis 600 sajak tapi tak pernah diterbitkan. Saya harap dapat melakukannya dalam masa terdekat,” katanya.

Syed Hamid juga menyuarakan keinginan untuk menghasilkan sebuah biografi dan sedang mencari penulis yang boleh membantunya.-14/7/2017 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here