Pagi tadi negara dikejutkan dengan berita pemergian Bekas Menteri Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Kembali ke rahmatullah di usia 74 tahun, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Saidina Umar di Bukit Damansara dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Nama Allahyarham tidak asing lagi dalam dunia politik Malaysia, bahkan pada Jumaat yang lalu, penulisan Allahyarham yang terakhir di laman blog kepunyaannya (sanusijunid.blogspot.my) masih berkisarkan isu politik yang dibangkitkan bagi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Segala suka duka dan liku perjalanan Allahyarham sepanjang kehidupannya bukanlah sesuatu yang mudah, namun usaha keringat Allahyarham bagi memperjuangkan negara bangsa dapat dirasai sehingga kini.

Mula melibatkan diri dalam bidang politik seawal usianya 20 tahun pada tahun 1963, kebangkitan Allahyarham sebagai ahli UMNO di Seremban boleh dikatakan berjalan dengan pantas dan lancar.

Dalam tempoh tahun 1966 sehingga 1967, Allahyarham diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan penting sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur dan diikuti dengan jawatan Ketua Penerangan dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur.

Pada tahun 1974, Allahyarham mula mengorak langkah dalam pilihan raya dan dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai, Kedah.

Kredibiliti yang ditunjukkan Allahyarham sebagai pemimpin tidak dapat disangkal lagi apabila diberi kepercayaan dan dilantik memegang jawatan penting di dalam kabinet.

Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah pada tahun 1978 sehingga tahun 1980 dan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1980 hingga 1981.

Seawal usia 38 tahun, Allahyarham telah diberikan kepercayaan sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada tahun 1981 sehingga tahun 1986.

Pada tahun yang sama, Allahyarham juga telah memegang jawatan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO, Pengerusi Biro Penerangan UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Selepas pilihanraya pada tahun 1982, Allahyarham dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Jerlun, Langkawi dan memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia pada waktu yang sama ketika itu.

Pada tahun 1986, Allahyarham diberikan mandat sebagai Menteri Pertanian dan Ketua Bahagian Jerlun, Langkawi. Keikhlasan dan kesungguhan yang dipamerkan menyebabkan Allahyarham dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990.

Allahyarham menyandang jawatan Menteri Besar Kedah yang ke tujuh pada tahun 1996 sehingga tahun 1999 dan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah pada tahun 2000.

Walaupun perjalanan Allahyarham dalam UMNO berakhir pada tahun 2008, namun perjuangannya di dalam dunia politik negara tidak pernah berakhir.

Perjuangan Allahyarham diteruskan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga bergandingan dengan Pakatan Harapan.

Allahyarham turut diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Disiplin bagi PPBM.

Pemergian Allahyarham juga telah memberikan kejutan kepada ahli PPBM dan Pakatan Harapan kerana Allahyarham sempat menghadiri majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan di Shah Alam malam tadi.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.

“Kita perlu menjadi bangsa yang berani berubah kerana sudah terlalu lama perasaan takut kita disalahgunakan oleh mereka yang kita percayai untuk membangsatkan agama, bangsa dan negara kita sendiri.”

-Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid; Jumaat, 2 Mac 2018 (10:24 AM)

 

 

*Info tambahan

Allahyarham juga pernah menghasilkan beberapa karya penulisan di antaranya bertajuk:

  • Empat Penggal Di Parlimen Keempat (1978)
  • Kepimpinan Melayu Baru: Harapan dan Cabaran(1980)
  • Biar Rugi Beribu Juta Untuk Menebus Maruah(1984)
  • Semoga TempayanTidak Pecah (1985)
  • Dihempas Badai Dilambung Gelombang(1986)
  • Antara Dua Ramadhan(1988)
  • Antara Fakta dan UMNO(1990)
  • Jihad Membasmi Kemiskinan (1990)
  • Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih(1990)

(Sumber: Wikipedia)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here