Baru-baru ini seorang penumpang Uber berkongsi pengalamannya yang telah dihalang oleh beberapa orang pemandu teksi untuk menaiki kenderaan tersebut.

Alis Khairani memuat naik status berkenaan pengalamannya itu di laman Twitter miliknya dan menyifatkan insiden tersebut menakutkan dirinya.

Gadis itu mendakwa dirinya telah dipaksa keluar dari kenderaan Uber oleh beberapa orang pemandu teksi yang berada di KTM Batang Benar, Negeri Sembilan kerana kawasan tersebut dikatakan merupakan kawasan larangan buat pemandu di bawah kendalian e-Hailing.

Sejurus selepas insiden berkenaan, Alis telah membuat aduan kepada SPAD kerana mendakwa pemandu teksi yang menghalangnya untuk menaiki Uber telah mengancam keselamatannya hinga meninggalkan trauma dan perasaan takut.

Sementara itu, jurucakap SPAD berkata kenderaan di bawah kendalian e-Hailing hanya dibenarkan untuk mengambil atau menurunkan penumpang di kawasan yang terletak kira-kira 10 meter dari pintu keluar KTM Batang Benar.

Ini kerana Persatuan Pemandu Teksi di kawasan berkenaan telah mendapat persetujuan daripada Perbadanan Aset Keretapi untuk mendapatkan kawasan menunggu teksi di lokasi KTM tersebut.

Dalam hal ini, Pengasas Big Blue Taxi Facilities, Dato’ Shamsubahrin Ismail menyifatkan tindakan pemandu teksi yang memaksa pelanggan keluar dari kenderaan Uber tersebut adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana meninggalkan perasaan takut dan tidak selamat terhadap penumpang awam.

Beliau menegaskan seharusnya perkara tersebut diterangkan secara lebih baik dan tenang terhadap pelanggan kerana tidak semua orang awam mengetahui peraturan serta kawasan larangan kenderaan e-Hailing di situ.

Namun, beliau tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap pemandu teksi yang bertindak sedemikian kerana mereka berhak mempertahankan hak sebagai pemandu teksi yang mempunyai tapak menunggu secara sah di kawasan tersebut.

Jelas beliau, perkara sebegini yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan kerana insiden ini merupakan salah satu akibat tiadanya penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan di bawah kendalian e-Hailing.

Tambahnya lagi, masalah ini masih dianggap tidak beres dan hanya akan memudaratkan pemandu teksi seterusnya pelanggan kerana keliru dengan penggunaan perkhidmatan e-Hailing yang sering menjadi isu besar buat industri teksi.

Pemandu teksi bukanlah protes kerana menyimpan dendam, sebaliknya pihak kerajaan yang masih bersifat sebelah dalam pelaksanaan undang-undang bagi industri kenderaan awam pacuan empat roda.

Selagi tiada penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap sistem ini, maka tidak mustahil akan berulang lagi insiden yang lebih kurang sama yang telah menimpa pelanggan sebelum ini.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here