Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman mempertaruhkan jawatannya demi menunjukkan keyakinannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir parti Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Kimanis sanggup melepaskan jawatannya sebagai menteri sekiranya perdana menteri gagal menunaikan janjinya untuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anifah dalam kenyataannya berkata negeri di bawah bayu itu mempunyai hak untuk menuntut 40 peratus keuntungan pendapatan bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan bagi tempoh setiap lima tahun.

Beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap perdana menteri untuk memenuhi janji yang perlu dikotakan terhadap rakyat di Sabah dan menganggap manifesto Pakatan Harapan mengenai MA63 hanya sebuah retorik politik oleh parti pembangkang.

Sehubungan dengan kenyataan tersebut, pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Dato’ Shamsubahrin Ismail berkata parti Barisan Nasional (BN) tidak boleh menganggap janji yang ditabur terhadap rakyat di Sabah hanyalah sebagai cakap-cakap kosong sahaja.

Beliau menjelaskan, perkara yang termaktub di dalam MA63 tidak seharusnya dicampur adukkan dengan kepentingan parti politik dengan menggunakan perjanjian tersebut sebagai pertukaran untuk memancing sokongan rakyat.

Tambahnya, sebagai perdana menteri, Najib Razak seharusnya mengetepikan polemik politik, bahkan perlu mengkaji dengan lebih mendalam butiran di dalam perjanjian tersebut yang perlu diperbetulkan untuk kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak.

Antara perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah memenuhi tuntutan 20 perkara rakyat Sabah adalah seperti berikut:

Tuntutan 20 Perkara

  • Perkara 1 Agama: Tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia.
  • Perkara 2 Bahasa: Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  • Perkara 3 Perlembagaan: Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia.
  • Perkara 4 Ketua Persekutuan: Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.
  • Perkara 5 Nama Persekutuan: “Malaysia”
  • Perkara 6 Imigresen: Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke Borneo Utara sepatutnya memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
  • Perkara 7 Hak Menarik Diri ; Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.
  • Perkara 8 Borneonisasi: Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
  • Perkara 9 Pegawai-pegawai British: Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti dengan orang tempatan yang berkelayakan.
  • Perkara 10 Kewarganegaraan: Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan.
  • Perkara 11 Cukai dan kewangan: Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.
  • Perkara 12 Kedudukan khas bangsa asli/Bumiputera Borneo Utara: Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya.
  • Perkara 13 Kerajaan Negeri: Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.
  • Perkara 14 Jangkamasa Peralihan: Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut Perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh Kerajaan Persekutuan.
  • Perkara 15 Pelajaran: Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
  • Perkara 16 Perlindungan kepada Perlembagaan: Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara.
  • Perkara 18 Nama Ketua Negeri :Yang di-Pertua Negeri Sabah
  • Perkara 19 Nama Negeri: Sabah
  • Perkara 20 Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain: Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus membabitkan Borneo Utara.

Janji manis yang ditabur bagi mengembalikan hak keistimewaan bagi negeri Sabah tidak sepatutnya hanya bermain di bibir ahli politik apabila menjelang musim pilihanraya sahaja, malah patut diberikan perhatian secara konsisten.

Jika tuntutan ini masih dikaitkan dengan parti politik demi meraih undi, maka akan berterusan dakyah politik tidak bertanggungjwab yang lebih parah dengan membangkitkan isu agar kedua-dua negeri itu berpisah dari Malaysia.

Baik janji manis, mahupun suara sumbang, jika tuntutan rakyat digadaikan hanya kerana kepentingan politik, maka musnahlah negara bangsa!

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here