Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim menitipkan pesanan kepada para pemimpin politik khususnya yang berbangsa Melayu agar lebih bersopan dan menghormati sesama sendiri walau berbeza pegangan politik.

Beliau berkata demikian berdasarkan pemerhatiannya yang memperlihatkan nilai kesopanan dalam dunia politik semakin terhakis sehingga wujud segelintir ahli politik yang sanggup memutuskan hubungan persahabatan peribadi kerana lebih taksub dengan parti politik mereka.

Bekas Menteri Kabinet itu turut meluahkan kekecewaannya apabila sesetengah pemimpin politik Melayu menggunakan bahasa yang menghina seperti “kurang ajar” dan “kepala otak” yang jelas bertentangan dengan etika Melayu tradisional yang mengamalkan budi bahasa dan adab kesopanan.

Dalam pada itu, pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Dato’ Shamsubahrin Ismail turut menyokong sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Rais Yatim berhubung adab kesopanan yang harus diamalkan oleh setiap pemimpin politik berbangsa Melayu.

Jelasnya, pemimpin politik tidak sewajarnya menggunakan sentimen provokasi dengan mengeluarkan bahasa dan kata-kata yang kesat hanya untuk menjatuhkan sesama sendiri dan memancing sokongan rakyat.

Dato’ Shamsubahrin turut menegaskan baik buruk sesebuah parti politik juga harus dinilai melalui keperibadian yang ditonjolkan oleh ahli serta pemimpin di dalam sesebuah parti tersebut.

Tambahnya jika tidak dibendung dengan segera, perkara tersebut bukan sahaja memutuskan silaturrahim sesama pemimpin, malah menimbulkan kekeliruan kepada rakyat sehingga hilang kepercayaan terhadap pemimpin.

Hal ini juga akan menyebabkan rakyat mula merasakan ketidakbergantungan kepada pemimpin yang mentadbir dan melenyapkan semangat patriotisma yang wajar ada dalam diri setiap rakyat di negara ini.

Peribahasa Melayu yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” harus sentiasa dijadikan peringatan buat pemimpin agar tidak mengheret ke lembah perpepecahan dan kebinasaan.

Jika tidak, yang dinamakan demokrasi itu bukan sahaja sia-sia, malah beracun!

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here