KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan pemandu teksi menafikan dakwaan kononnya semua pemandu teksi negara ini akan mengundi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputera Malaysia (PERBUMI) Datuk Mohd Alias Abdul, berkata tiada alasan untuk pemandu teksi memberi undi kepada pembangkang kerana kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan itu.

“Saya tidak melihat ada sebarang alasan untuk pemandu teksi mengundi pembangkang kerana selama ini kerajaan sudah membantu kami dengan pelbagai inisiatif.

“Masih ada harapan untuk perbincangan antara pemain industri dan kerajaan bagi menangani isu perkhidmatan e-hailing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, yang mendakwa pemandu teksi hilang harapan terhadap Barisan Nasional (BN) terutama membabitkan isu perkhidmatan e-hailing.

Malah, beliau mendakwa pemandu teksi mengambil keputusan untuk mengundi pakatan pembangkang kerana Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji mengkaji semula isu e-hailing.

Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA), Mohd Syahrir Abdul Aziz, berkata dakwaan Shamsubahrin hanya sekadar pendapat peribadinya tidak mewakili semua pemandu teksi.

“Itu hanya pendapatnya kerana semua orang mempunyai persepsi dan pendapat peribadi masing-masing terhadap kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERPEKLI), Datuk Aslah Abdullah, turut berkongsi pendapat sama.

“Beliau (Shamsubahrin) bukan pemandu teksi sebenar. Suaranya tidak mewakili semua pemandu teksi negara ini kerana beliau hanya sekadar ahli perniagaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here