Monday, May 21, 2018
Home 2018 Tuduhan tidak berasas, kempen nak jatuhkan BN – Nancy

Tuduhan tidak berasas, kempen nak jatuhkan BN – Nancy

9
0

KUCHING 8 Mei – Pelbagai dakwaan dan tohmahan berhubung isu teksi di negara ini didapati tersebar lebih-lebih lagi pada malam terakhir berkempen sebelum rakyat membuat keputusan memilih kerajaan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau sudah menjangka perkara tersebut dan bukan kali pertama berdepan dengan tuduhan sebegitu kerana ia adalah kempen berterusan pihak mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, banyak telah dilakukan kerajaan BN termasuklah memperkenalkan dasar baru menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“TITP diperkenalkan bagi menyelesaikan isu-isu struktur yang sudah lama melanda industri ini berasaskan penggunaan teknologi, menggalakkan persaingan dan daya saing, mewujudkan medan persaingan adil, meningkatkan pendapatan serta kebajikan pemandu teksi dan meningkatkan mutu perkhidmatan pemandu teksi.

“Program TITP bukanlah direka semata-mata melalui imaginasi dari mereka yang hanya duduk di hadapan komputer, tetapi ia telah dirangka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui siri konsultasi berterusan dengan pemandu teksi dan pihak berkepentingan malah kajian mendalam serta perbandingan penanda aras dengan industri teksi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bahawa Nancy dan Perdana Menteri tidak membantu komuniti teksi di negara ini yang disebarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga calon BN Parlimen Batang Sadong berkata, melalui TITP, pelbagai bantuan dan bekalan diberikan sebagai platform bagaimana mereka dapat bersama-sama memanfaatkan industri e-hailing.

“Sebagai contoh, pemandu teksi mempunyai pilihan dalam menggunakan e-hailing, iaitu mengambil penumpang melalui tempahan atas talian atau menggunakan aplikasi.

“Selain itu, berbeza dengan pemandu e-hailing, pemandu teksi diberikan kelebihan untuk mendapatkan akses kepada kedua-dua perkhidmatan e-hailing dan ‘street hailing’,” jelasnya.

Beliau berkata, pemandu e-hailing tidak boleh membuat street hailing kerana perkhidmatan mereka hanya terhad kepada mengambil dan menurunkan penumpang di satu-satu tempat yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Nancy mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik kotor untuk menjatuhkan BN dengan dakwaan tidak benar itu. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here