PETALING JAYA: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mempertikaikan gesaan untuk menutup agensi persekutuan itu kerana mendakwa ia diperlukan bagi melaksanakan transformasi pengangkutan awam di Malaysia.

Bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu berkata, SPAD sudah menunjukkan kejayaan dalam merancang sektor itu secara strategik.

“Peranan paling penting SPAD adalah merancang, sama seperti Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA). Tiada apa yang salah dengannya,” katanya kepada FMT.

Persatuan Teksi Selangor Kuala Lumpur dan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) baru-baru in menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil alih fungsinya.

Syed Hamid berkata, keluhan persatuan teksi terhadap SPAD berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan, serta peranan ini boleh diambil alih JPJ.

Katanya, sebelum penubuhan SPAD pada 2010, tiada agensi yang menyelia sistem pengangkutan, termasuk rangkaian bas dan rangkaian rel.

Katanya, pihak berkepentingan pernah mengadu isu itu dengan agensi kerajaan berbeza, membawa kepada penstrukturan semula secara keseluruhan di bawah SPAD.

Beliau berkata, masih penting untuk SPAD menasihat dan merancang masa depan pengangkutan awam dengan teliti.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali berkata, SPAD tidak harus dimansuhkan.

“Kami harap kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan kuasa pelesenan SPAD.”

Katanya, PMBOA menggesa kerajaan menubuhkan SPAD untuk perancangan dan pengurusan pengangkutan awam.

Ashfar berkata, SPAD harus diberikan kuasa untuk mengeluar dan membatalkan lesen bagi kenderaan perkhidmatan awam (PSV, untuk teksi dan bas) serta pemandu barangan (GDL, untuk lori komersial).

“Buat masa ini, SPAD tidak boleh menyenaraihitamkan pemandu melanggar peraturan dan terpaksa bergantung kepada JPJ untuk melakukannya.

“Apabila bas dikesan dipandu dengan laju, SPAD mencari syarikat itu, bukannya pemandu,” katanya sambil menambah memberi kuasa kepada SPAD atas pelesenan PSV dan GDL akan membenarkan undang-undang dikuatkuasakan lebih berkesan.

Beliau juga menyeru kerajaan melantik seorang menteri untuk menyelia SPAD agar pihak berkepentingan lebih mudah menyuarakan aduan mereka.

“Di bawah Akta SPAD, menteri yang bertanggungjawab ke atas SPAD adalah perdana menteri, tetapi kami tidak pernah dapat menemui perdana menteri kerana beliau terlalu sibuk.

“Jadi, beliau memberikan tugas ini kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi tetap sukar untuk kami menemuinya.”

source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/22/jangan-mansuh-spad-kata-bekas-pengerusi-syed-hamid/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here