Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PERTEKMA) hari ini menggesa kerajaan agar “menghapuskan” perkhidmatan e-hailing di Malaysia seperti Grab dan fokus untuk memperbaiki industri teksi di Malaysia, lapor Malay Mail. Perkara berkenaan disebut oleh presidennya Mohd Shahrir Abdul Aziz ketika menghantar cadangan tersebut kepada Majlis Penasihat Kerajaan dalam satu mesyuarat yang diadakan hari ini.

“Punca pendapatan kami telah terjejas teruk sejak perkhidmatan e-hailing seperti Grab diperkenalkan. Jika kualiti perkhidmatan kami benar-benar teruk, lakukan sesuatu untuk membetulkan kami atau tolong kami untuk memperbaikinya. Kami wujud tetapi servis e-hailing ini masih dibenarkan beroperasi dan akhirnya memonopoli industri. Kami gesa agar Grab dihapuskan dan beri operasi e-hailing kepada kami,” katanya.

Mohd Shahir turut menyatakan pertubuhannya juga mengalu-alukan pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang didakwa telah mengabaikan kepentingan lebih 60,000 pemandu teksi dalam berberapa tahun kebelakangan ini. “Semua cadangan untuk memperbaiki situasi tidak pernah dilayan. Kami menulis banyak surat kepada SPAD dan juga ke kementerian, tetapi tidak berjaya.

“SPAD tidak melakukan tugas mereka dalam menjaga kami (pemandu teksi) dan juga keseluruhan industri, jadi pada pandangan kami ia tidak ada sebab untuk terus beroperasi,” katanya dan berharap agar Majlis Penasihat Kerajaan mendengar cadangan mereka. “Mereka sudah tahu tetapi mereka belum cakap apa-apa,” tambah Mohd Shahir.

Awal minggu ini juga Berita Harian telah melaporkan bahawa penasihat Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubaharin Ismail menyeru agar kerajaan Pakatan Harapan yang baharu ditubuhkan agar menyekat operasi Grab di Malaysia kerana di dakwa menyebabkan syarikat-syarikat dan pemandu-pemandu teksi hilang sumber pendapatan.

“Suatu ketika dulu pemandu teksi menyokong penuh usaha MyTeksi namun selepas ia berjaya ke tahap tinggi, syarikat itu memperkenalkan pula perkhidmatan kenderaan membawa penumpang tanpa lesen.

“Tindakan itu menutup periuk nasi pengusaha dan pemandu teksi, apatah lagi ia (servis e-hailing) beroperasi tanpa kawalan. Industri teksi juga meniti arus kemodenan dan bersetuju untuk menggunakan teknologi bagi perkhidmatan ini. Bagaimanapun banyak perkara yang perlu dikaji semula termasuk pengurusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here